Perkongsian 10 - NPQEL
NPQEL merupakan satu kursus persediaan untuk guru-guru kanan menjadi seorang Pengetua atau Guru Besar (PGB) disesebuah sekolah. Mungkin kaedah perlantikan PGB sebelum ini masih boleh diperbaiki maka NPQEL adalah wadah tepat ke arah melahirkan seorang pemimpin yang berkualiti dan instruksional.
Meskipun perlantikan seorang PGB kelulusan NPQEL tetap menimbulkan kontroversi tetapi sekurang-kurangnya ia lebih baik dari kaedah perlantikan sebelum ini. Maka, muncullah pelbagai teori tentang buruk dan baiknya lantikan NPQEL sebagai PGB. Cuma pada aku, apa jua dasar dan polisi sekalipun tetap mengundang pro dan kontranya.
Aku terpilih oleh JPN Pahang sebagai seorang peserta NPQEL untuk sesi 2017. Ini berlaku selepas melalui pelbagai tapisan sebelum berjaya dalam pemilihan. Ini termasuk mendapat sokongan GB, menjadi GPK disesebuah sekolah dan akhirnya proses temuduga. Satu kelemahan yang aku dapati ialah dari segi pengalaman perkhidmatan. Adalah lebih baik peserta NPQEL mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya 20 tahun dan ke atas.
Sekitar pertengahan bulan Februari 2017, aku mula mendaftar sebagai peserta NPQEL di IAB Genting, Pahang. Seramai lebih 200 peserta lagi turut sama melaporkan diri dan akhirnya kami semua ditempatkan di asrama IAB Genting. Maka bermulalah kerjaya aku sebagai peserta NPQEL.
Sesuatu yang sedikit merencatkan fikiranku ialah apabila melihat umur peserta yang rata-ratanya awal dan pertengahan tahun 40an dan aku merupakan antara 5, 6 peserta yang berusia 50an. Dari sudut psikologinya, ini memberi sedikit sebanyak cabaran dalam mengharungi kursus yang bakal dilalui.
Kursus NPQEL melalui beberapa pembaharuan modul dan aku difahamkan kohort aku adalah kohort terakhir nmenggunakan modul sedia ada sejak diperkenalkan sebelum modul baru digunakan untuk kohort yang akan datang.
Pengisian NPQEL bagi aku adalah terbaik sesuai untuk melatih bakal-bakal PGB. Calang-calang peserta yang tidak fokus pastinya kecundang. Apalagi cabaran pertama di beri ialah semua peserta mesti lulus dengan gred 3.75 ke atas. Difahamkan adalah juga peserta yang tewas sebelum berjuang dengan pelbagai masalah yang dihadapi mereka.
Menghadiri kelas dari pagi hingga petang, break sekejap diwaktu tengahari, kekadang dihujung-hujung kursus kelas diadakan sehingga malam. Pelbagai kerja kursus yang diberikan hampir setiap hari, tugasan online dan paper work, sesi perbincangan dan pembentangan serta bengkel menghiasi kursus yang dijalankan selama 6 bulan tersebut. 100 mata anak tangga yang mempunyai kecuraman kurang lebih 50 darjah menjadi saksi betapa bersemangatnya kami untuk naik dan turun dua atau tiga kali sehari untuk ke bilik-bilik kuliah. Ini semua memerlukan teamwork yang kuat dan padu. Dan sebagaimana yang diketahui, kerjasama kumpulan merupakan prasyarat tersirat yang perlu dibina disepanjang kursus.
Alhamdulillah, aku tidak menghadapi sebarang masalah selama mengikuti kursus yang disertai. Bahkan sebagai peserta berusia, aku lebih dikenali sebagai Abang Long di dalam kelasku. Terima kasih semua sahabat yang tidak mampu aku ukirkan satu persatu di ruang ini. Terima kasih menyantuni aku dari mula sehingga tamat kursus. Ketika ini, aku yakin semua sahabat sudahpun dilantik sebagai seorang Guru Besar yang hebat. Tahniah, jadilah GB yang terpimpin dan disayangi oleh anak-anak buah di bawah jagaan kita. Saya merindui kamu semua.
Comments
Post a Comment