Perkongsian 21 - Lulusan NPQEL
Kursus NPQEL (National Professional Qualitification for Educational Leaders) telah diperkenal oleh kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1999. Kursus ini dijalan dan dikendalikan oleh Institut Aminuddin Baki. Pelbagai modul pembelajaran disediakan dan kohort aku melalui modul yang telah dipertingkat sesuai dengan perkembangan semasa. Aku difahamkan, ambilan kohort berikutnya pula juga mempelajari modul yang lebih baru.
Kursus NPQEL dikatakan antara prasyarat yang ditetapkan oleh KPM sebelum seseorang guru itu dilantik sebagai PGB (Pengetua, Guru Besar) di sesebuah sekolah. Bagaimanapun, ada juga negeri yang mempunyai syarat tambahan sebelum seseorang lepasan NPQEL diiktiraf sebagai PGB. Boleh dikatakan, sebaik dipilih menjadi peserta, sebelah kaki peserta telahpun menjejaki bakal PGB, cuma kekosongan jawatan, kekananan perkhidmatan dan kejayaan menamatkan kursus dengan cemelang akan menentukan kedudukan bakal peserta selanjutnya.
Peserta kursus yang menamatkan pengajian akan memperolehi dua taraf kelulusan. Satu, Sijil Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) dan Diploma Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan. Dua bentuk pengiktirafan ini sudah cukup untuk melayakkan setiap peserta dilantik sebagai PGB.
Aku dipilih menyertai NPQEL untuk kemasukan ambilan 2, 2017. Perasaan aku ketika temuduga dan terpilih menjadi pesertapun dalam keadaan berbelah bagi. Ini disebabkan faktor usia dan agak lewat untuk berada di barisan pentadbiran. Kelewatan ini mungkin berpunca dari status aku sebagai guru cemerlang yang pada dasarnya GC berkhidmat hanya di bilik darjah dan ini menjadi antara syarat semasa lantikan sebagai GC.
Ini ditambah lagi apabila melihat calon temuduga dan peserta yang terpilih untuk kursus NPQEL pada masa itu berusia sekitar awal 40 an dan mereka mempunyai banyak masa untuk merancang dan membangunkan sekolah.
Sebenarnya, itulah perasaan yang menggangguku sepanjang aku ikuti kursus tersebut. Dalam masa yang sama akupun sudah lama menaruh hasrat untuk bersara awal dari perkhidmatan. Walaupun pada mulanya hasrat ini aku pendamkan tetapi lama-kelamaan ia menjadi bisikan yang tidak mampu aku pertahankan.
Justeru, aku menghabiskan sisa-sisa kursus yang ada di Institut Aminuddin Baki dalam keadaan separuh terpaksa. Dan akhirnya, selepas 6 bulan bertarung dalam kursus, bulan Oktober 2017, aku berjaya juga menamatkan kursus.
Majlis Komensmen pada 17 Mac 2018 menjadi mercu tanda pencapaianku dan seterusnya diiktiraf untuk dilantik menjadi guru besar. Namun, rezeki Allah menentukan segala-galanya apabila aku memenuhi tuntutan aku sendiri untuk bersara awal.
Kepada para sahabat, teruskan khidmat kalian sebagai guru besar. Amanah yang diberikan sangat besar dan InsyaAllah, kalian mampu melakukannya.
#Allahsayangkitasemua
Comments
Post a Comment