Perkongsian 11 - Kerja rumah murid-murid sekolah
Satu isu yang nampaknya kecil tapi tidak pernah ada jalan penyelesaiannya ialah masalah murid-murid tidak menyiapkan kerja rumah yang guru-guru berikan. Ada sesetengah guru mempunyai cara tersendiri bila berdepan isu seperti ini. Ada yang berikan hukuman, denda dan hukuman ini pula pasti mengundang ketidakselesaan ibu bapa bila mereka dapati hukuman itu tidak praktikal dan keterlaluan.
Tanpa menyalahkan mana-mana pihak, pemberian kerja rumah atau latihan di rumah perlu diurus sebaik mungkin. Guru-guru mesti membuat sedikit homework bagaimana masalah ini boleh berlaku.
Sepanjang menjadi guru, banyak juga pengalaman yang saya timba berkaitan kerja rumah murid-murid. Sehinggalah saya mempunyai solusi sendiri untuk menyelesaikannya. Sebelum itu, kita kena senaraikan, apakah punca masalah murid-murid tidak menyiapkan kerja rumah.
Antara yang boleh saya senaraikan adalah:
1. Murid mempunyai kerja rumah yang bertimbun - banyak.
2. Murid tidak faham kemahiran yang dipelajari.
3. Murid kekurangan masa di rumah.
4. Murid sememangnya malas - ini yang cikgu mengamuk.
5. Murid terlupa - cikgu akan mengamuk juga.
6. Murid keletihan.
7. Murid tertinggal buku latihan.
Apabila kita hadapi masalah seperti ini, tentulah kita mempunyai cara untuk menyelesaikannya. Itu yang saya katakan, kita kena urus masalah dengan cara terbaik.
Kata kunci untuk menyelesaikan masalah ini sebenarnya terletak pada cikgu sendiri. Tidak salah untuk kita bertanya murid, apakah kerja rumah lain yang cikgu-cikgu lain berikan. Sekiranya terlalu banyak, tak perlulah cikgu tambahkan lagi. Selesaikan terus latihan yang cikgu nak berikan itu di dalam kelas.
Antara punca utama bagi saya yang menyebabkan murid tidak berminat menyiapkan kerja rumah ialah kerana murid itu sendiri tidak faham apa kemahiran yang dipelajari. Bagaimana murid nak siapkan kerja rumah sekiranya mereka sendiripun tidak faham? Justeru, cikgu mesti berikan kefahaman yang jelas.
Comments
Post a Comment