Perkongsian 12 - Projek Amal 3S
Projek Amal - Sembang Santai Sains (3S), merupakan satu projek yang aku sudah lama rangkakan untuk membantu sekolah-sekolah terpilih di Negeri Pahang dalam usaha untuk memantapkan kefahaman dan kemahiran sains murid-murid. Projek ini berdasarkan pengisian ceramah atau bengkel sains yang biasa aku berikan kepada sekolah-sekolah yang sudi menjemput aku menyampaikan ceramah sebelum ini.
Pada fikiran aku, pengalaman dan kemahiran yang sedia ada perlu dikongsikan untuk manfaat bersama. Lebih-lebih lagi status aku yang sudah bersara dari perkhidmatan guru. Adalah merugikan sekiranya kelebihan yang ada ini dibiarkan begitu sahaja. Atas jalur inilah maka aku merangka Projek Amal 3S ini.
Sekolah-sekolah terpilih hanya perlu menetapkan temujanji, menyediakan sedikit peralatan yang diperlukan maka sekiranya semua berjalan lancar maka aku akan berkunjung ke sekolah tersebut. Aku perlukan 2 hingga 3 jam untuk sembang santai dengan murid-murid. Semua bahan ceramah seperti handout dan alatulis disediakan oleh pihak sekolah. Tiada bayaran yang perlu dibayar. Projek Amal 3S ini diberikan secara percuma.
Kenapa hanya sekolah terpilih? kerana sekolah ini dilihat kepada pencapaian khususnya subjek sains yang lemah dan sederhana, kekurangan dana pendidikan untuk mengadakan program dan murid-murid berpotensi untuk berjaya. Sekolah seperti ini sangat perlu diberikan bantuan.
Perancangan aku tidak terhenti setakat itu, jika mendapat sambutan yang menggalakkan, aku akan lebarkan lagi kategori sekolah yang terpilih dan bukan sahaja di dalam daerah dan di luar daerah tetapi ke luar negeri Pahang. Aku akan mohon kebenaran JPNP dan KPM untuk menjadikan projek ini lebih berkesan dan diberikan kebenaran untuk roadshow ke sekolah-sekolah yang dipilih.
Projek ini sebenarnya sudah dimulakan sebagai pilot projek pada kumpulan-kumpulan tertentu. Tahun lepas aku telah mengadakan Projek Amal 3S ini di Putrajaya. Sebelum kita berdepan dengan masalah pendamik Covid-19, aku telahpun membuat akujanji untuk hadir membawa projek ini ke sekolah-sekolah terpilih tetapi malangnya, projek ini terpaksa ditangguhkan sehingga masalah wabak ini selesai sepenuhnya.
Sekolah-sekolah yang merasakan wajar terpilih bolehlah hubungi saya melalui nombor telefon yang tertera pada banner di atas. Doakan semoga semua urusan dipermudahkan.
Terima kasih.
Comments
Post a Comment