Perkongsian 13 - Mengunjungi Sahabat Lama

Setelah hampir lebih 30 tahun berpisah, akhirnya pada tanggal 18 Disember 2019, kami bertemu semula dengan sahabat lama semasa sama-sama bertugas di SK Jabor, Kuantan, Cikgu Che Abdul Aziz bin Che Yusof dan isteri beliau Cikgu Rofiyah bt Atan. Pertemuan itu memang diatur dalam siri perjalanan makan angin saya sekeluarga ke Negeri Johor Darul Takzim.

Sememangnya seminggu sebelum merancang hendak melancong ke Johor, saya telah menghubungi Cikgu Aziz dan memberi gambaran kemungkinan akan singgah ke teratak rumah beliau di Pontian sekiranya perancangan untuk berjalan itu dapat direalisasikan. Alhamdulillan, hajat tersebut dikabuli Allah SWT pada hari dan tarikh seperti yang dirancang.

Saya dan Cikgu Aziz serta seorang lagi sahabat guru, Cikgu Wan Abdullah bin Wan Zawawi yang kini menetap di Kuantan merupakan tiga sekawan yang mula melaporkan diri untuk bertugas di SK Jabor pada 5 Januari 1987.

Terlalu banyak kenangan yang menjadi nostalgia antara kami bertiga semasa berkhidmat bersama di sekolah tersebut. Hampir tidak termampu untuk saya singkapkan satu-persatu peristiwa pahit manis yang kami tempuhi. Semuanya menjadi mimpi yang tidak mungkin terpadam kerana segala peristiwa yang dilalui telah mematangkan kami, menghimpunkan pengalaman yang tidak ternilai harganya.

Sesampainya kami di Kg. Alor Batu, Jabor, Kuantan, kami mula melilau mencari rumah sewa. Selepas bertanya dan mencari, dapatlah kami sebuah rumah kosong yang kebetulan tuannya, Makcik Wok yang hendak sewakan. Tinggallah kami di situ untuk beberapa tahun sebelum berpindah ke kuarters guru yang disiapkan di kawasan sekolah.

Hari pertama persekolahan, kami disambut oleh Tuan Guru Besar, Almarhum Tn. Haji Mohamed bin Yahya dan GPK 1 ketika itu, Puan Zauyah binti Salleh yang akhirnya menjadi seorang kakak untuk kami bertiga. Apa yang menariknya, soalan pertama yang keluar dari mulut guru besar ialah tentang kewangan kami bertiga. Kata beliau, PIBG ada menyediakan RM300.00 seorang sebagai pinjaman awal sebelum gaji kami diuruskan. Biasanya waktu itu, proses menyediakan gaji memakan masa tiga bulan ke atas. Dari hari itu, bermulalah kehidupan saya, Cikgu Aziz dan Cikgu Wan sebagai seorang guru. Cerita lanjut tentang pengalaman mengajar di SK Jabor akan saya tulis untuk siri-siri perkongsian yang akan datang.

Pertemuan saya dengan Cikgu Aziz di teratak beliau di Pontian Kecil, Johor mengimbau pelbagai kenangan dan peristiwa yang kami ukirkan bersama. Hampir satu jam juga kami berkongsi cerita dan semua peristiwa tersebut masih segar diingatan seolah-olah semuanya baru sahaja berlaku semalam.

Terima kasih Cikgu Aziz dan Cikgu Rofiah Atan yang sudi menyantuni kami sekeluarga. Memandangkan Cikgu Aziz juga sedang sibuk menguruskan perkahwinan anak beliau hari esoknya, saya tidak mahu menggangu lebih lama dan memohon izin untuk pulang. Kami sempat bergambar kenangan dan sesama berjanji untuk bertemu lebih kerap selepas ini.

Salam bahagia dan sejahtera sahabatku, Cikgu Aziz dan Cikgu Rofiyah Atan, semoga semua urusan dipermudahkan untuk dunia dan akhirat. Aaminn.














Comments

Popular posts from this blog

Perkongsian 10 - NPQEL

Perkongsian 1 - Penghasilan buku

Perkongsian 21 - Lulusan NPQEL