Perkongsian 8 - PdPC di Bilik Darjah

Sebagai seorang guru, proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) merupakan tugas hakiki yang mesti dilaksanakan. Bersama proses pdpc adalah satu set perancangan melalui buku rekod pengajaran.

Penyediaan kedua-dua dokumen ini adalah wajib sebagaimana yang diperuntukkan di dalam syarat perguruan. Tanpa dokumen ini maka tempanglah moraliti seseorang guru waima siapapun kita dalam sistem pendidikan. Dari jawatan tertinggi di sesebuah sekolah, PGB mahupun guru-guru biasa, buku rekod pengajaran adalah 'lesen besar' yang perlu disediakan.


Andai aku diberi pilihan, kelas terakhir adalah kelas yang aku minta. Bukan tidak pernah mengajar di kelas hadapan tetapi barangkali jiwa aku sudah sebati mengajar di kelas terakhir. Feel dia lain sikit bila kita dapat membantu mereka berjaya dengan cemerlang. 

Prasyarat untuk mengajar kelas terakhir pada aku ialah perancangan. Jika kata orang 'main redah' tanpa perancangan maka pengurusan kelas tampak tidak kemas dan bermaya. Secara jujurnya, kita maklum tahap anak murid kita dan tentulah perancangan pdpc bersesuaian dengan mereka.

Secara umumnya, pdpc yang aku lakukan, peringkat mula, memberikan sedikit motivasi. Aku suka mencabar mereka supaya menjadi lebih baik dari kelas lain. Sentuh sikit bab pengorbanan mak ayah mereka. Selang-seli set induksi kita dengan cerita-cerita agama, khususnya tentang solat. Kemudian, barulah kita mulakan proses pdpc kita. Bahasa kita kena santai, jelas, bermelodi, sekejap tinggi, sekejap  rendah. Jangan terlalu serius, mereka akan boring. 

Kemahiran yang kita ajar tidak perlu banyak. Cukup sekadar rasa, sesuai dengan tahap mereka. Sekiranya kita sumbat pelbagai kemahiran, mereka akan jengkreng. Kita tentu mahir dengan kebolehan mereka. Kemahiran yang kita ajar pula biarlah jelas daripada kita dan jelas juga daripada mereka. Berilah contoh-contoh jika ada yang berkaitan secara langsung dengan kehidupan mereka.

Aku mengajar subjek sains rendah. Tagline hampir semua pdpc aku ialah ' Tiada Kehidupan Tanpa Sains'. Ini bermakna, semua kerja buat dan perlakuan kita memang mempunyai kaitan secara langsung dengan sains.  Amat malang, sekiranya murid-murid kita gagal menguasai kemahiran seperti pernafasan, perkumuhan, perwarisan, pembiakan dan hampir 10 tajuk khas sains rendah berkaitan dengan diri manusia.  Setiap saat kita bernafas. Setiap hari kita menjalani perkumuhan. Tiba-tiba, murid kita tidak tahu organ pernafasan, tidak faham proses pernafasan. Tidak tahu apakah makna pewarisan. 

Justeru, tugas kita hanyalah memberikan sedikit penerangan kerana semuanya telah ada pada diri mereka. Muridlah alat bantu pdpc kita setiap masa di samping alatan lain yang menyokong.

Langkah seterusnya adalah penglibatan murid. Ini apa yang disebut dalam PAK21 sebagai pdpc berfokuskan murid. Percaya atau tidak, tanpa aktiviti berkumpulan, pdpc kita akan mati. Jadinya pastikan dalam perancangan pdpc kita sekurang-kurangnya ada satu gerakerja berkumpulan. Sebenarnya inilah yang dinanti-nantikan oleh murid kita. Murid akan hampa andainya aktiviti ini gagal kita laksanakan.

Satu lagi tabiat aku yang sangat suka dengan aku lakukan adalah pdpc aku tidak hanya bertumpu di bilik darjah tetapi banyak juga aku lakukan di luar bilik darjah.

Hampir 5 jam lebih murid-murid berada di bilik darjah. Sepatutnya kita boleh merasai kesulitan mereka. Oleh sebab itu, aku suka pelbagaikan tempat pdpc aku. Ada masa di taman-taman sekolah, di surau, di tempat lapang, dewan, kantin dan tentulah tempat yang paling murid aku minati ialah di bawah pokok, santai sambil belajar sambil menghirup udara nyaman, sambil-sambil itu pula murid boleh minum, bawa bekalan makanan mereka. Ini adalah strategi aku supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan.

Semestinya guru-guru akan banyak takwil. Bagaimana disiplin mereka? Mereka tentu banyak bermain dari belajar. Pada aku, semuanya bergantung kepada pengurusan kita semasa proses pdpc. Jika kita terlalu berfikiran negatif maka percayalah kita akan terperangkap dengan dunia negatif kita. Bagilah peluang murid-murid seronok belajar dan dalam masa yang sama kita kontrol pdpc kita dengan cemerlang.

Sepanjang aku menjadi seorang guru, dari kaca mata aku sendiri, aku ada kebolehan menarik minat murid untuk belajar. Mereka selalu ternanti-nanti untuk aku masuk mengajar.  Andai terlambat sedikit, akan ada murid mencari aku walaupun ketika aku menjadi GPK pentadbiran. Jika ini berlaku kepada cikgu, inilah petanda pdpc cikgu telah berjaya.

Cikgu, saya dah lakukan ini semua lebih 30 tahun semasa dalam perkhidmatan. Saya dah lakukan di sekolah terakhir saya di SK (LKTP) Felda Lepar Hilir 1, Kuantan. Murid-murid dari kelas terakhir saya lulus cemerlang sains UPSR dengan 100% untuk dua tiga tahun berturut-turut.  Saya akui ini bukan kerja saya seorang tetapi dibantu oleh guru-guru sains di sekolah saya.

Kipidap, syabas dan tahniah kepada cikgu-cikguku serta murid-muridku. Saya amat merindui kamu.







Comments

Popular posts from this blog

Perkongsian 10 - NPQEL

Perkongsian 1 - Penghasilan buku

Perkongsian 5 - Rehal Covit19