Perkongsian 9 - Ceramah KBAT


Hihi...sepanjang bergelar Guru Cemerlang Sains, terlibat dengan bermacam-macam program dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, menjadi Jurulatih Utama Sains Negeri Pahang, Daerah Kuantan termasuk penggubal soalan sains negeri dan daerah, sempat jugalah aku berkongsi pengalaman berceramah tentang KBAT kepada kalangan guru-guru sekolah khususnya guru-guru di Daerah Temerloh.

Satu daripada keterlibatan aku dalam program yang dinamakan perkongsian pintar ini adalah menyampaikan ceramah kepada guru-guru Daerah Temerloh, Pahang. Sekali di Hotel Catayana di Kuantan dan kali kedua di PPD Temerloh sendiri. Tajuk yang diberikan ialah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Perghhh, debor kita. Tapi dengan sedikit pengetahuan dan pengalaman yang ada aku kayuhkan juga kudrat ini untuk berkongsi ilmu dengan guru-guru berkenaan.

Sebagai makluman, apabila cikgu-cikgu menjadi orang penting di daerah, negeri dan kementerian, cikgu akan terlebih dahulu mendapat info atau maklumat tentang sesuatu dasar yang diperkenalkan kementerian. Ini termasuklah tentang dasar KBAT yang diperkatakan. Pengetahuan ini sangat penting kerana bila-bila masa, kita diperlukan untuk menatarkan maklumat ini kepada para pegawai pendidikan di daerah dan negeri termasuk guru-guru dan sekolah.

Seperti yang berlaku dengan perkongsian KBAT dengan guru-guru di Daerah Temerloh maka aku sebenarnya telah bersedia dari awal untuk membentangkan dokumen berkenaan. Untuk memantapkan lagi persembahan kita, sememangnya kita wajib mendapat sumber rujukan yang boleh menyegarkan lagi dapatan kita. Sepanjang ceramah aku, aku perhatikan pada mulanya, guru-guru amat takut dengan istilah KBAT.

Apabila aku terangkan KBAT ini bukan satu istilah asing dan beberapa contoh yang aku berikan memudahkan kefahaman mereka, barulah aku lihat senyuman di wajah masing-masing. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya telah menggunakan kemahiran KBAT dalam pdpc kita. Selepas mereka faham, banyak juga soalan yang muncul dari peserta. Alhamdulillah, aku mampu menjawabnya dengan baik dan teratur.

Secara mudahnya, dalam tetingkap Aras Kesukaran Taksonomi Bloom yang kita pelajari iaitu dari aras pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan rekacipta maka aras KBAT bermula di aras tiga dan ke atas iaitu di aras aplikasi, analisis, sintesis dan rekacipta. Selepas itu, apa jua perbicaraan kita tentang KBAT mesti melalui aras aplikasi. Sebab itulah kemahiran aplikasi diberikan tumpuan dalam pengurusan pdpc seseorang guru.

OK, posting ini agak ilmiah sedikit. Tapi takpelahkan, sekurang-kurangnya boleh mengukuhkan pengetahuan kita tentang apa itu KBAT. Selepas ini, sebaik cikgu-cikgu nak masukkan unsur-unsur KBAT dalam pdpc cikgu, fikirkan apakah kemahiran atau aktiviti yang boleh diaplikasikan oleh murid-murid cikgu. Selamat beramal.





Comments

Popular posts from this blog

Perkongsian 10 - NPQEL

Perkongsian 1 - Penghasilan buku

Perkongsian 5 - Rehal Covit19