Perkongsian 15 - Lawatan Sambil Belajar
Aku guru lawatan sambil belajar di sekolah. Kesemua sekolah yang aku mengajar, aku terlibat secara langsung dalam aktiviti tersebut. Pada fikiran aku, inilah aktiviti luar bilik darjah yang sangat 'mahal' harganya. Pada aku juga, inilah aktiviti paling menarik yang boleh mendedahkan murid-murid dengan situasi sebenar selepas mereka berhempas pulas belajar di bilik darjah.
Idea aku datang untuk menguruskan lawatan sekolah semasa aku mula mengajar di SK Jabor, Kuantan. Aku berfikir, bagaimana untuk mendedahkan murid-murid kampung tradisonal dengan kemajuan semasa negara.
Rata-rata sosio ekonomi ibu bapa dan penjaga murid di Kampung Jabor adalah miskin. Justeru, bagaimana idea aku untuk melibatkan anak-anak muridku untuk menyertai lawatan sambil belajar. Sedangkan kemampuan ekonomi mereka amat terbatas. Dari situlah, aku wujudkan Projek Tabung Lawatan. Murid-murid akan menabung waima 10 sen, 20 sen, 30 sen atau berapa sahaja yang mereka mampu untuk menabung. Setiap hari aku bawa tin tabungan. Hampir setiap hari jugalah mereka menabung. Setiap akhir bulan, aku umumkan jumlah yang masing-masing telah menabung.
Masing-masing terkejut, bila diakhir projek menabung ini, aku bentangkan hasil tabungan mereka. Riak air muka mereka sangat gembira apabila mereka tahu tabungan mereka mencapai angka berpuluh-puluh ringgit bahkan sebahagian besarnya mengumpul beratus-ratus duit simpanan. Dari sinilah Projek Lawatan Sambil Belajar mula aku kembangkan.
Hampir 10 tahun aku berkhidmat di SK Jabor, Kuantan, sudah berpuluh program lawatan aku uruskan. Hampir semua negeri juga di Malaysia ini, murid-muridku telah jejakkan kaki. Bayangkanlah, anak-anak kampung berada di ibu kota Kuala Lumpur dan Johor Baharu. Bayangkanlah, anak-anak kampung bersama aku dan guru-guru lain 'roadshow' dari Timur ke Barat, dari Selatan ke Utara. MasyaAllah.
Rupanya dalam diam, ibu bapa dan penjaga murid cemburu pada programku. Ada yang jumpa secara personal dan memaklumkan, buatlah juga lawatan seperti itu kepada mak ayah mereka. Waduh, aku ingatkan orang-orang kampung tidak berminat, rupanya mereka memasang angan-angan seperti anak-anak mereka juga. Dari situlah, aku mula uruskan rombongan lawatan untuk ibu bapa murid-murid. Merasa jugalah mereka melawat ke Terengganu, Kelantan, Kuala Lumpur, Cameron Highlands dan beberapa bandar lain lagi. Mereka sangat terharu, dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih atas usahakan aku dan guru-guru di sini.
Berpindah sahaja ke sekolah lain, kaedah yang sama juga aku lakukan. Di SRK Pengkalan Tentera, Kuantan, di SK Sungai Isap, Kuantan bahkan di SK (LKTP) Felda Hilir 1, Kuantan, sekolah terakhirku tempat aku berkhidmat.
Secebis, dari kenangan program lawatan sambil belajar ini, murid-murid sebenarnya sangat berminat untuk menyertai lawatan sekolah. Usah diceritakanlah, apakah kesan dari program ini, terlalu banyak. Ini dapat dilihat daripada sikap, perasaan, emosi, pengelaman dan pengetahuan mereka. Inilah proses pembelajaran luar bilik darjah belajar yang murid-murid paling minati.
Kepada guru-guru muda, belajarlah menguruskan salah satu aktiviti ini. Memang risikonya terlalu besar kerana ia melibatkan nyawa peserta lawatan. Pedulikan segala kritikan negatif tentang kewangan, untung dan rugi, pengurusan dan penglibatan murid dalam hal ehwal lawatan. Kita tidak akan ke mana sekiranya asyik berpaut di dahan rapuh. Sentiasa berfikiran positif.
Ada komplen seorang bapa, berapa juta cikgu nak bayar sekiranya ada anak-anak mereka yang menyertai lawatan itu terlibat dalam kemalangan atau kehilangan nyawa. Saya tidak mampu untuk menjawabnya tetapi saya juga sempat bertanya kepada ibu bapa ini, berapa juta pula tuan akan bayar kepada saya sekiranya anak tuan selamat pergi dan balik dari lawatan ini. Diapun tidak mampu menjwabnya. Aku tersenyum puas.
Comments
Post a Comment