Perkongsian 16 - Projek Ayam Kampungku


Aku memulakan projek ayam kampung dua bulan selepas aku bersara. Boleh tahan juga kos untuk bisnes ayam kampung nih. Aku membina sendiri reban-reban ayam bersaiz 20' x 40' untuk tiga buah reban. Anggaran kos pembinaan reban sahaja ialah sekitar RM 7,000.00 lebih untuk tiga buah reban. Sebaik memulakan penternakan, kos pembelian anak ayam untuk 200 ekor pertama ialah RM600 dan kos makanan anak ayam adalah RM150.00 seminggu untuk dedak dan jagung.

Orang kata, untuk melihat keuntungan bisnes, kita memerlukan dua atau tiga kali pusingan proses penternakan. Aku sempat melakukan sehingga 4 kali pusingan, bermula bulan Februari 2019 hingga November 2019.  Hujung Tahun 2019 aku berehat seketika sehinggalah terus beristirehat apabila pendamik Covid-19 menyerang dunia dan negara kita.

Setiap hari, bermula pukul 7.00 pagi aku sudahpun berada di tapak penternakan ayam untuk menguruskan proses pemakanan ayam. Proses menyediakan makanan dan minuman anak ayam memakan masa satu jam lebih untuk 5 buah reban, 3 buah yang baru aku bina dan 2 buah lagi reban sedia ada. Keseluruhan bilangan anak ayam pada masa permulaan projek adalah sekitar 400 ekor. Untuk waktu petang, kerja-kerja menguruskan ayam bermula selepas asar iaitu pukul 5.00 petang. Itulah rutin hidup aku setiap hari apabila terlibat dalam perusahaan penternakan ayam kampung.

Harga jualan anak ayam selepas proses pembersihan termasuk penyembelihan ialah RM14.00 sekilogram. Harga ini dikatakan sangat murah berbanding harga pasaran. Semasa aku mencari info di google, harga ayam kampung bersih untuk sekilogram adalah antara RM16.00 hingga RM18.00. Pada aku, bisnes ini bukan sekadar bisnes tapi aku juga berhasrat, bisnes dan infak sekaligus.

Pasaran? Oleh kerana bisnes aku ini boleh dikatakan secara kecil-kecilan dan sebagai back up untuk mengisi masa lapang aku, aku tidaklah mencari pasaran secara serius. Aku sekadar mempromosikan antara kenalan aku sahaja di samping aku war-warkan melalui facebook dan kumpulan aplikasi whatsupku. Itupun, masih tidak dapat menampung permintaan.


Seronok? Memang seronok. Waktu yang paling seronok tentulah bila tiba masa pelanggan mulai membuat tempahan. Dalam sehari, adalah dalam 7 atau 8 ekor ayam dapat dijual. Purata dalam seminggu, kurang lebih 20 - 30  ekor dijual. Aku tidak berani untuk mengambil risiko untuk mengadakan promosi besar-besaran kerana pernah berlaku, tempahan ayam melebihi bekalan yang aku ada.

Sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan kemahiran dan pengalaman daripadaku, silakan. Aku bersedia untuk berkongsi cerita. Semoga urusan aku dan sahabat dipermudahkan. Allah SWT sayang kita semua.

















Comments

Popular posts from this blog

Perkongsian 10 - NPQEL

Perkongsian 1 - Penghasilan buku

Perkongsian 5 - Rehal Covit19