Perkongsian 17 - Aku Aktif Bersukan
Aku dua dari kanan
Aku aktif bersukan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Apa sahaja jenis sukan, pasti aku terlibat sama. Sukan bola sepak dan hoki, antara sukan kegemaranku. Aku mewakili pasukan sekolah semasa belajar di SK Kuala Berang, hulu Terengganu dan SM Tengku Ampaun Intan, Hulu Terengganu untuk permainan bola sepak dan juga hoki. Satu ketika, mewakili daerah dan negeri untuk kategori bawah 12 tahun. Apabila aku menyambung pelajaran ke sekolah menengah, aku tetap aktif bersukan. Aku pernah memenangi pelbagai acara sukan olahraga khususnya untuk larian jarak jauh.
Aku tiga dari kanan
Semasa aku menyambung pengajian di maktab perguruan, aku sudah beralih sepenuhnya pada permainan hoki sehingga mewakili maktab ke sukan pentarama, sukan antara maktab-maktab perguruan. Dari penglibatan aku di dalam bidang sukan menunjukkan potensi bakat dalam bersukan sememangnya sedia ada.
Apabila aku sudah bekerjaya sebagai seorang guru, aku masih aktif melibatkan diri dalam hal ehwal bersukan tetapi bertukar opsyen sebagai jurulatih dan penasihat sukan pula. Pencapaian tertinggi aku dalam sukan ialah apabila aku diberikan kepercayaan menjadi jurulatih sukan squash negeri Pahang untuk pelajar sekolah rendah dan menengah bahkan menjadi pengadil di peringkat MSSM untuk permainan hoki dan squash. Melalui penglibatan sukan ini, dapat jugalah beberapa kali merentas negeri termasuk ke Negeri Sabah.
Aku simpan gambar kenangan penglibatan aktif aku dalam sukan di blog ini untuk perkongsian pengalaman sebagai tatapan anak-anak dan sahabat. Pengajaran dari tulisan aku ini, gilapkan bakat anda, anak-anak anda dan murid-murid anda sehingga ke puncak. Jangan dibiarkan ia hanya terpendam dan seterusnya terkulai layu di tasik madu. Hihi.
Comments
Post a Comment