Perkongsian 18 - Guru Cemerlang
Menjadi seorang Guru Cemerlang(GC) mengikut kepakaran kita pada hakikatnya bukanlah satu perkara yang mudah. Bukan sahaja sukar untuk diiktiraf sebagai GC tetapi sukar juga apabila kita sudah dilantik sebagai GC.
Kenapa jadi begitu?. Kesukaran sebelum dilantik ialah kita perlu benar-benar mantap dalam bidang kepakaran kita. Untuk diuji kemantapan ilmu kita pula, kita akan dinilai oleh sepasukan nazir sekolah untuk beberapa kali. Perlu ada dokumentasi dan perlu mempunyai kerja yang hebat di lapangan.
Untuk memantapkan lagi kesiapsiagaan GC, kita juga diuji tentang hubungan dengan rakan sebaya, murid-murid, pihak pentadbir sekolah dan tidak kurang juga terhadap ibu bapa dan komuniti setempat. Sekiranya semua ujian tersebut lulus, barulah kita diangkat sebagai Guru Cemerlang mengikut bidang masing-masing.
Kenapa sukar pula sebaik dilantik sebagai GC? Sukar kerana sebagai GC kita memegang amanah yang besar bagi melaksanakan pelbagai tugasan yang sedia menanti. Ada GC, selepas dilantik bertindak 'suam-suam kuku' kerana terlalu berhati-hati dalam segala tindakan yang perlu diambil. Sebagai GC, kita bukan sahaja mesti mengekalkan prestasi murid-murid di sekolah kita tapi dalam masa yang sama perlu menyumbang tenaga dan idea untuk membantu meningkatkan prestasi sekolah-sekolah lain juga.
Aku dilantik secara rasmi sebagai seorang GC Sains ialah pada Tahun 2010. Dari penilaian peribadi aku sendiri, aku berjaya memegang tugasan GC walaupun tidak terlalu cemerlang. Indikator penilaian aku ialah apabila keterlibatan aku di dalam urusan rasmi pendidikan bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Aku juga mampu menulis buku sains untuk pasaran bersama syarikat mybooks.com.
Aku terlibat hampir semua jawatankuasa yang diwujudkan di PPD, JPNP dan juga KPM. Sebutlah apa jua nama jawatankuasa tersebut. Penggubal soalan, pemeriksa kertas UPSR, jawatankuasa teknikal berkaitan sains, penceramah sains dan motivasi, karnival sains dan sebagainya. Di peringkat negeri, selain tugasan yang aku senaraikan sebelum ini, aku juga mengetuai peka sains - satu ujian amali di peringkat sekolah rendah, pelbagai kursus untuk murid dan guru.
Di peringkat kebangsaan, aku terlibat sebagai jawatankuasa buku teks, bahagian perkembangan kurikulum, bahagian peperiksaan, bahagian penyelidikan dasar dan bahagian karnival sains KPM. Semua kerja-kerja ini menuntut kita bijak dalam pengurusan masa dan juga bijak menjaga reputasi asas kita di sekolah.
Ini menunjukkan begitu banyak pengalaman dan pengetahuan yang perlu aku kongsikan bersama rakan-rakan guru dan aku telahpun lakukan. Banyak jemputan ceramah di atas nama perkongsian amalan terbaik telah aku sampaikan. Tidak ada nikmat yang aku rasai selepas melakukan ini semua selain daripada nikmat kepuasan.
Terima kasih Allah kerana meminjamkan anugerah kecemerlangan ini kepada diriku. Semuanya berlaku atas keredhaanMu. Semoga urusanku dan rakan-rakan guru yang lain sentiasa dipermudahkan untuk kehidupan di dunia dan akhirat.
#Allah Sayang Kita Semua.
Terima kasih atas jasa Cikgu Zaidi sepanjang bergelar Guru Cemerlang
ReplyDeleteSama-sama Cicit Hang Tuah, itu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Terima kasih Allah.
ReplyDelete