Perkongsian 19 - Ceramah Sains
Aku bergerak aktif sebagai penceramah khususnya untuk subjek sains sebaik aku dilantik sebagai GC sains. Sejak dari itu, jemputan untuk menyampaikan ceramah bertali-arus dari pelbagai pihak khasnya dari sekolah-sekolah sama ada sekolah dari dalam daerah, luar daerah dan ada masanya di luar negeri Pahang. Itulah antara kelebihan apabila kita ada 'title' sebagai GC.
Sebaik menerima undangan untuk berceramah, sepastinyalah kita wajib membuat persediaan. Ini termasuk membuat slaid atau power point persembahan - nadi sesebuah ceramah., bahan atau 'hand-out' untuk peserta, sedikit saguhati untuk tarikan - gula-gula, alatulis, buku, 'key-chain' dan sebagainya. Ini penting kerana jika diuruskan dengan baik, murid-murid akan berada pada mood yang sentiasa bersedia untuk terus berada dalam sesi ceramah.
Kita mesti fokus pada hasrat asas penganjur ceramah. Pengisian itulah yang menjadi topik utama untuk kita sampaikan. Sementara yang lain bertindak sebagai eksesori ceramah semata-mata. Jangan pula kita lebih utamakan eksesori dari pengisian penting sesuatu ceramah yang diberi. Justeru, pada kebiasaannya saya akan senaraikan tentatif ceramah, 10 minit pertama, apa yang hendak dilakukan, seterusnya untuk 10 atau 20 minit berikutnya dan pastikan peruntukan masa lebih terarah kepada objektif ceramah. Setiap kali tamat sesuatu sesi masa yang diperuntukkan, saya lebih suka diselang-selikan dengan 'fun learning', ada masa kita bercerita bab-bab agama, ada 'game', teka-teki, menyanyi dan sebagainya.
Tanpa 'eksoseri' ini, persembahan kita dilihat terlalu serius, kaku dan beku dan perkara ini mengundang rasa 'boring' para peserta. Sebagai penceramah, kita wajib elakkan perkara ini dari berlaku. Inilah antara seni atau ilmu yang perlu kita gali sekiranya kita mahu terlibat dalam industri persembahan ceramah.
Apakah indikator untuk kita ketahui persembahan kita seakannya tidak diterima? Antaranya ialah kita hilang kawalan ke atas peserta, suasana sepi tanpa respon peserta ataupun kita boleh melihat dari riak air muka peserta.
Apabila ini berlaku, penceramah akan kelihatan hilang tumpuan dan menyebabkan penyampaian seterusnya sekadar untuk memenuhi masa. Sebaik tuan rumah 'masuk campur' untuk mengawal kebisingan peserta, itulah petanda awal kegagalan kita. Ini tentu mengecewakan kita apalagi akan mengecewakan pihak penganjur.
Lantaran itu, elakkanlah perkara sebegini dari berlaku. Penceramah mesti menggali lagi ilmu penyampaian dan komunikasi. Jangan segan-silu bertanya dan menuntut ilmu daripada otai-otai yang biasa terlibat dalam industri ini.
Mengikut pengalaman aku yang terlibat secara langsung dalam bidang ini, hendak dikatakan aku berjaya 100% tak adalah juga tetapi ke arah itu, InsyaAllah adalah kot. Itupun penilaian kita. Jika hendak tahu kita berjaya atau tidak, lihatlah dari segi respon penganjur, melihat dari segi jemputan yang berulang-kali kita perolehi. Melihat dari sudut 'servis selepas jualan' atau menilai pada borang maklumat kepuasan pelanggan yang kita sediakan. Ini antara respon pantas yang kita terima dan kita mesti melakukan penambahbaikan dalam persembahan kita.
Aku sampai di sesuatu tempat ceramah, pada kebiasaanya setengah jam sebelum bermula. Dari sinipun kita boleh menilai tahap kesiapsiagaan tuan rumah. Aku sampai lebih awal supaya dapat 'setting' beberapa perkara yang perlu.
Kesiapsiagaan tuan rumah? Terpulanglah kepada mereka. Boleh tahan juga aku melihat tuan rumah 'berpeluh' bila melihat aku sampai lebih awal dari masa yang ditetapkan. Sebenarnya itulah habit aku, disiplin masa. Harapan tuan rumah sangat tinggi. Jangan hampakan mereka.
Satu peristiwa lucu antara terlucu yang aku sendiri alami. Macam biasa aku sampai awal disalah sebuah sekolah yang menjemputku. Masa itu kelihatan perhimpunan pagipun belum tamat. Tiba-tiba ada seorang guru perasan dengan kehadiranku. Tanpa banyak soal, guru itu bingkas bangun dan mencari kunci untuk buka bilik komputer.
Akupun tanpa banyak soal buatlah persiapan apa yang patut. Dah siap 'setting' semuanya, GPK Pentadbiranpun datang. "Guru besar kita kalau buat program jarang tak bagitahu kita", rungut cikgu tu. Akupun boleh tahan juga menyampuknya. "Takpe dia boss. Tapi jarang GB tak bagi maklum kepada GPK ye", balasku, nampak macam konfiden je. Kebetulannya, hubungan aku dengan kumpulan guru besar dalam daerah Kuantan ini sangat rapat, akrab dan baik. Jadi pada fikiranku takdelah perkara luar biasa yang berlaku.
Selang sepuloh atau dua puluh minit kemudian, telefon ku berdering. Tampak jelas panggilan daripada seorang guru besar.
"Cikgu Die ada kat mana tu?. Tanya guru besar. "Saya dah sampai cikgu. Dah ada dalam bilik komputer ni hah". Jawabku. "Aikk, sayapun ada dalam bilik komputer ni cikgu". Jawapan guru besar tersebut sudahpun menjawab segala-galanya. Aku tersilap tempat. Apalagi, ketawa, berpeluh, mengggeleng-geleng kepalalah aku. Guru Besar sekolah inipun minta aku teruskan untuk menyampaikan ceramah di sekolahnya tapi aku terpaksa menolak kerana janji asalku di sekolah yang sepatutnya aku menyampaikan ceramah. Untuk sekolah ini, aku berjanji aku datang balik sekiranya diundang. Selang beberapa bulan kemudian, aku hadir di sekolah ini sebagai memenuhi janjiku dan permintaan sahabat guru besarku. Aku percaya, andai guru besar sekolah ini membaca perkongsian aku ini, diapun akan tersenyum panjang. Amboiiii.
Setibanya aku di sekolah asal untuk aku menyampaikan ceramah, aku disambut oleh pihak pentadbir sekolah. Aku telah ceritakan kisah kelewatanku. Sebenarnya tidaklah terlalu lewat, dalam sekitar lima ke sepuluh minit sahaja. Itulah pentingnya kita datang awal andainya mendapat jemputan kerana sekiranya berlaku kesilapan tempat kita ada masa lagi untuk bertukar ke tempat yang lain. Aku abadikan, gambar ke 13 dari siri gambar yang aku sertakan ini, sekolah yang sepatutnya aku sampaikan ceramah tersebut.
Dalam siri-siri ceramahku, seperti yang aku nyatakan sebelum ini, aku lebih suka suasana yang santai, kedudukan murid yang selesa. Penekanan suara aku adalah pelbagai. Terang, jelas, tinggi dan rendah, berirama, ada masa serius dan tegang, ada masa membelai. Ini semua aku lakukan mengikut mood peserta. Yang pasti, aku wajib adakan aktiviti kumpulan. Ini mengikut masa yang diperuntukkan. Lagi banyak masa diperuntukkan lagi banyak aktiviti yang boleh aku selitkan.
Menyampaikan ceramah diadunkan dengan pelbagai aktiviti merupakan salah satu daya tarikan persembahan. Aku lakukan, supaya kefahaman dan pengalaman murid menjadi lebih bermakna. Umpamanya untuk menerangkan tentang makna pemboleh ubah dalam sains, amali sains yang kita lakukan mampu menjawab banyak persoalan. Murid mudah faham kerana terminologi ini diaplikasikan. Kitapun boleh menilai tahap kefahaman murid dengan pantas melalui lembaran kerja yang kita berikan.
Elakkan dari kita menjual hasil tangan kita sebaik selesai penyampaian ceramah kecuali kita diminta oleh murid atau kita sudahpun maklumkan lebih awal kepada penganjur dan peserta. Melainkan penceramah ternama, yang mempunyai nama besar, yang telah menerbitkan pelbagai bahan ceramah, mereka lebih layak untuk memasarkan hasil tangan seperti buku, majalah dan sebagainya kerana itu adalah antara permintaan pihak penganjur.
Saguhati penceramah?. Siapalah aku untuk 'demand' walaupun ada kalanya sekolah minta harga yang perlu dibayar. Pada aku dan kebanyakan penceramah dan sekolah sudah memahaminya. Aku tidak berkira dari segi bayaran. Dalam pekeliling, ada disebut bayaran saguhati ini mengikut tahap pencapaian penceramah. Secara keseluruhannya, honorarium asas telah diletakkan iaitu RM80 untuk satu jam Itupun terpulang kepada pihak sekolah.
Sejujurnya, aku pernah terima bayaran RM1000.00 untuk selama 4 jam semasa berceramah di Ampang, Kuala Lumpur. Itupun penganjur terdiri daripada penduduk setempat yang aku rasa terdiri daripada golongan elit. Bagi mereka, duit bukanlah halangan. Kebetulan ada juga permintaan untuk membeli buku yang aku hasilkan. Buku aku masa itu, sold out dijual.
Satu pengalaman berharga semasa menyampaikan ceramah di Ampang, Kuala Lumpur ialah permintaan ibu bapa supaya diadakan soal jawab sebaik selesai siri ceramah tersebut.
Maka majlis soal jawab bermula. Semasa perkenalkan diri masing-masing, gerun juga aku bila masing-masing bekerja sebagai jurutera, doktor, CEO syarikat dan sebagainya. Alhamdulillah, semua soalan yang dibangkitkan, aku menjawab dengan baik, tenang dan sempurna. Mereka berpuas hati. Alhamdulillah.
Itulah pentingnya keyakinan diri. Mereka semua mungkin pakar dalam bidang masing-masing tapi kita pastikan kita juga pakar dalam bidang kita.
Istimewa kepada guru-guru yang ingin melibatkan diri dalam bidang ceramah, mungkin ada ilmu yang boleh guru-guru ambil dari kisah perkongsian saya kali ini. Sekali lagi nasihat saya, jika cikgu ada bakat ini, jangan pendamkan, serlahkan. Kemahiran anda banyak membantu anak-anak murid, sekolah dan juga sahabat-sahabat kita yang terlibat dalam perguruan.
Ayuh, bangkitlah berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Saya sudahpun melakukannya. Kalau tidak hari ini, bila lagi. InsyaAllah, kita mampu melakukannya.
#Allah Sayang Kita Semua. Selamat beramal.
Comments
Post a Comment