Perkongsian 20 - Banjir Besar 2003

Tahun 2003, menyingkap satu bencana banjir besar di Kuantan. Kawasan tumpuan ialah di Perkampungan Sungai Isap, Kuantan. Banjir besar ini berlaku sekitar bulan Disember 2003.

Jutaan aset dan harta penduduk musnah dalam sekelip mata. Ini termasuk rumah kediaman, kenderaan, perabot, pelbagai barangan elektrik dan banyak dokumen penting musnah.

Berita banjir besar ini disiarkan hampir setiap malam di kaca televisyen. Menjadikan perkampungan Sungai Isap popular di Malaysia. Hampir dua minggu jugalah penduduk bertungkus-lumus menghadapi ujian Allah yang berat ini.

Pelbagai teori penyebab berlakunya banjir besar ini dikomentarkan baik di media sosial mahupun di warung kopi. Antara cerita yang menarik, Empangan Sungai Kobat pecah, ada yang kata empangan tersebut terpaksa dilepaskan air yang tidak mampu ditampung, masalah perparitan di Taman Sungai Isap Damai dan ada pula yang berkata tebing Sungai Isap ketika itu roboh menyebabkan air melimpah.

Waima apapun teori dan penyebabnya, hampir semua alasan yang diberikan mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Malam detik sebelum berlakunya banjir besar keesokan hari, aku dan keluarga masih di rumah di Sungai Isap Perdana. Hujan memang mencurah-curah. Seketika aku melihat sudah ramai penduduk yang mula berjalan keluar ke jalan utama dan menyusur ke arah yang tidak diketahui. 

Semakin lama, semakin ramai penduduk meredah hujan malam. Kebanyakannya penduduk dari Taman Sungai Isap Damai. Taman di bahagian paling belakang di Sungai Isap. Sempat juga aku mendengar luahan, pekikan dari mereka yang memberikan amaran, banjir sudah menenggelamkan rumah mereka di paras lebih satu meter di dalam rumah.

Situasi dah nampak hampir kelam-kabut. Masing-masing mengheret kaki untuk ke tempat yang lebih tinggi. Tentunya ke pusat-pusat perpindahan banjir. Ketika itu, pusat perpindahan tidak berapa jelas sama ada di Masjid Hidayah Permatang Badak ataupun di SMK Paya Besar.

Rumahku dah mula dimasuki air. Dari seinci ke seinci, akhirnya menjejak dua kaki di dalam rumah. Ketika itulah, aku dan semua ahli keluargaku mulai keluar dari rumah. Aku meredah kepekatan malam dengan hujan yang tidak henti-henti mencurah. 

Waktu ketika itu, antara 2 dan 3 pagi. Orang ramai kelihatan masih berpusu-pusu mengharungi banjir yang mula melimpah di jalan-jalan raya. Sekelip mata juga air banjir naik sehingga lebih satu meter di atas jalan utama Sungai Isap.

Di tengah-tengah redahan banjir di malam yang gelap itu, aku dikejutkan dengan horn landrover dari belakang. Pemandu tersebut mengajak aku dan keluarga menumpang kenderaan tersebut. Alhamdulillah, aku dan keluarga menaiki landrover tersebut dan menuju ke Masjid Hidayah, Permatang Badak.

Setibanya aku di masjid, aku melihat sudah ramai penduduk yang sudah berada di masjid. Bilangan mereka semakin bertambah dari masa ke semasa sehingga melimpah ke luar masjid.

Aku memulakan inisiatif, mendaftar nama penduduk di buku log yang aku sediakan. Bilangan yang daftar ketika itu sudah melebihi 300 penama ketua keluarga. Ada pelbagai usia dan peringkat manusia ketika itu. Dari seorang bayi, kanak-kanak, budak-budak, remaja, dewasa dan juga yang tua. 

Masing-masing kesejukan kerana meredah hujan. Masing-masing mengantuk kerana letih berjalan. Ada juga yang berjaga kerana tidak boleh tidur dan fikiran bercabang. Aku memerhati dan memikirkan apakah yang perlu aku lakukan untuk langkah seterusnya. 

Makanan. Ya, makanan. Bila tiba waktu siang, mereka perlu makan. Ada yang bawa bekalan roti dan makanan yang lain. Berputar juga aku memikirkannya. Aku capai telefon bimbitku dan menelefon pusat bantuan banjir di Kuantan. Alhamdulillah, ada respon positif. Aku diminta memberikan maklumat orang yang terlibat dengan banjir. Itulah pentingnya daftar buku log yang aku sediakan. Aku juga menelefon pihak polis untuk memaklumkan perkembangan semasa penduduk yang terlibat dengan perpindahan banjir.

Diwaktu itu, aku bertindak kononnya sebagai penyelaras pusat perpindahan banjir. Aku menjadi jurucakap, tukang nasihat dan mengawal emosi orang ramai. Masing-masing merujuk kepadaku untuk tindakan seterusnya.

Banyak juga karenah dan cekadak yang aku dapati dari orang ramai yang menumpang di masjid ini.  Komplen di sana-sini. Kritik tak habis-habis. Kerajaan tak prihatinlah, tiada kemudahan untuk perpindahan banjirlah, tiada makanan disediakan. Ada masanya keadaan hingar-bingar.

Aku hadapinya dengan tenang dan sabar kerana aku faham mereka dalam keadaan yang tertekan. Kalau diikutkan, boleh je aku buat tidak peduli tentang mereka semua. Tapi apa nak buat, sifat semulajadiku tidak mengizinkan aku lakukan begitu.

Menjelang pagi, aku mendapat panggilan telefon daripada pihak polis dan pusat bantuan banjir untuk bersedia menerima makanan yang akan di hantar. Aku menyelaras kerja-kerja penerimaan bantuan. Selang setengah jam kemudian, bekalan makananpun sampai.

Makanya, dapatlah orang ramai makan pagi waktu itu, nasi putih berlaukkan sadin. Alhamdulillah. Itupun, masih ada yang merungut kerana tidak berpuas hati dengan lauk sadin yang dibekalkan. Perghh. Oh lupa, manusia dilahirkan dalam keadaan keluh kesah. Itu normal.

Menjelang tengahari, aku melihat semakin banyak bantuan tiba. Urusetia sebenar banjirpun sudah mula mengambil tempat. Akupun perlahan-lahan mengundur diri. Terdengar juga sayup-sayup nama aku dipanggil oleh urusetia dan polis. Aku hanya tersenyum dari jauh. Aku puas. Kerja amalkan tidak perlu didendangkan.

Terima kasih Allah kerana memberi kekuatan kepadaku untuk melakukan sesuatu yang betul dan tepat pada ketika orang memerlukan. Sampai hari ini, bila mendengar berita banjir, fikiranku secara otomatik mengimbau kenangan ini.

Comments

Popular posts from this blog

Perkongsian 10 - NPQEL

Perkongsian 1 - Penghasilan buku

Perkongsian 5 - Rehal Covit19